(Pengasas/Penasihat Pertama PSSGSK)
Pak Chu Hussin atau Hussin bin Isa
bin Mamat. Dilahirkan pada 17 hb. Oktober 1922 di Kampong Sinar Dua,Telipot
Kota Bharu Kelantan. Anak bongsu dari lima beradik seibu sebapa. Tiga lagi adik
beradik beliau adalah berlainan bapa. Beliau amat meminati ilmu persilatan
sejak dari kecil lagi. Silat pertama yang dipelajari ialah Gayungman dari
seorang yang bernama Tuan Haji Talib atau Wak Lid dari Kampong Batu Sebutir,
Pasir Putih. Selepas itu beliau belajar Silat “ Buah 7 Hari” dan Silat
Pulut (tari) semasa beliau tinggal dan beristeri di Binjai. Isteri pertama
beliau meninggal dunia semasa mengandung anak pertama. Selepas itu beliau juga
belajar Gayungman dari anak murid Wak Lid yang bernama En. Hassan dari Kampong
Kangkong, Pasir Mas di gelanggang dekat kilang air batu Telipot (sekarang Taman
Maju).
Pada tahun 1946 beliau telah berkahwin lagi dan menetap di Kampong Lundang,
Kota Bharu. Semasa dikampong inilah beliau telah belajar silat dengan Pak Nik
Man yang merupakan gelanggang terakhir Pak Nik Man mengajar. Pada mulanya
seramai 52 orang pelatih belajar tetapi yang Perlimau hanyalah 5 orang sahaja
termasuk Pak Chu Hussin dan Pak Nik Ya. Walaupun pembelajaran silat selama 6
bulan , tetapi beliau jarang dapat belajar penuh kerana pada waktu itu beliau
kerja shift malam dikilang getah “Lian Tong” Telipot. Bila balik malam dapat
belajar sekejab dan kadang-kadang gelanggang dah gelap kerana orang sudah
balik. Dari 6 bulan itu, kira – kira 1 bulan penuhlah beliau dapat belajar.
Walaupun begitu, beliau sangat mengamati, rajin dan bersemangat dalam masa
belajar silat sehinggalah kehari tamat latihan atau Perlimau Gelanggang.
Oleh kerana berkat rajin dan usaha serta semangat semula jadi yang ada dalam
dirinya dan berbekalkan ilmu yang sedikit, beliau telah dijemput menjadi guru
silat. Gelanggang pertama beliau mengajar ialah di Dusun Muda Kota Bharu dalam
tahun 1955. Mulai dari gelanggang pertama inilah beliau seterusnya mengajar
sehinggalah gelanggang terakhir pada tahun 2002. Jumlah keseluruhan gelanggang
yang beliau mengajar ialah 15. Semangat silat dalam diri beliau sangat
kuat. Semasa mudanya sekira beliau ketempat kenduri yang ada permainan silat
dan beliau tidak bersilat pada hari tersebut, baliknya beliau akan demam.
Begitulah kuatnya semangat silat beliau. Pak Chu Hussin telah kembali ke
Rahmatullah pada pagi Selasa 25 Jamadil Akhir 1423 Hijrah bersamaan 03
September 2002 ketika berusia 80 tahun. Beliau telah meninggalkan 6 orang anak,
4 lelaki (2 meninggal semasa kecil) dan 2 perempuan.
Bermula pada tahun 1975, Silat Seni Kampung Lundang dikenali dengan nama “Seni
Silat Gayungman Melayu Jati (SSGMJ)” tetapi tidak didaftarkan secara rasmi.
Kumpulan silat ini selalu dijemput mengadakan persembahan silat disekitar Kota
Bharu dibawah jemputan Pertubuhan Silat Selangkah Gerak Malaysia pimpinan
En. Aziz (Allahyarham).
Pada 01 Julai 2002, mesyuarat
dengan rasminya menubuhkan “Pertubuhan Silat Seni Gayungman Segerak
Kelantan (PSSGSK)“ dengan Pak Chu Hussin menjadi Pengasas dan Penasihat
yang Pertama. Dengan adanya pertubuhan baru ini, Warisan Silat Seni
Allahyarham Pak Nik Man akan diteruskan oleh anak, cucu serta anak-anak murid
Allahyarham Pak Chu Hussin, InsyaAllah.
* Kata
Mutiara Allahyarham
Silat Tari juga merupakan seni mempertahankan diri. Bila
bersilat tangan diangkat
(nari) tetapi bila tangan kebawah, disinilah sama dengan buah mempertahankan
diri.