(Pengasas Silat Seni Kampong
Lundang, Kota Bharu)
Pak Nik
Man atau Nik Abdul Rahman bin Nik Mahmud bin Dato’ Haji Wan Musa. Dilahirkan
pada tahun 1900 di Kampong Lundang, Kota Bharu. Anak ke 3 dari 5 orang adik
beradik. Beliau adalah cucu Dato’ Lundang atau dipanggil Dato’ Panglima Perang Lundang
pada masa itu. Beliau amat meminati Seni Silat sejak dari kecil lagi. Mula
belajar silat ketika berumur 13 tahun lagi dengan seorang pengembara yang bernama
Tengku Ngah (Ku Ngah) dari Terengganu yang datang ke Kelantan pada tahun 1913
(rujuk Salasilah Silat Seni). Sama belajar dengan beliau ialah abangnya yang
bernama Nik Abdullah (Pak Nik Lah). Lama masa belajar ialah 7 tahun. Ia amat
mahir dalam ilmu persilatan termasuk silat keris. Beliau juga belajar dengan
beberapa orang guru lagi seperti Pak Nik Hassan (bapa saudaranya) dan Pala
(Siam memeluk Islam). Nama Pak Nik Man begitu terkenal hingga kekampong –
kampong lain. Setelah tamat belajar ia menjadi guru silat pula. Beliau mengajar
dan menetap di Kampong Lundang dan abangnya Pak Nik Lah di Kampong Jembal,
Kedai Lalat (Kota Jembal).
Ramai
anak-anak murid dari kedua-dua pendekar ini yang turut sama mengembangkan
warisan silat ini. Antara anak murid Pak Nik Man yang terkenal ialah Raja Umar
(anak murid tua/awal) dari Kampong Teratak Pulai, Jelawat. Beliau dikatakan
telah mengajar 99 gelanggang sepanjang hayatnya.
Antara
anak-anak murid Tok Raja Umar ialah Pak Da Musa, Pok Wel Lawa dan ramai lagi.
Lain-lain
anak murid Pak Nik Man ialah Penghulu Haji Wan Sulaiman, Pak Chu Hussin, Pak
Nik Ya……hanya beberapa nama saja. Manakala anak-anak murid Allahyarham Pak Nik
Lah ialah Pak Yusof Kedek, Pak Ngah Aziz, Pak Su Talib, Tuan Losin, Pak
Su Ya…….hanya beberapa nama saja.
Kehandalan
dan kehebatan Pak Nik Man ketika bersilat dan mengajar memang diakui oleh anak
murid dan orang ramai. Pernah suatu ketika anak muridnya yang sebelum ini ada
belajar ilmu gagah ingin ‘sudi/derhaka’ kepada beliau dan didalam gelanggang telah
dijatuhkan dengan teruk sekali dan selepas itu berjanji tidak derhaka lagi.
Ketika beliau bersilat ditempat kenduri, semua aktiviti terhenti seketika
hinggakan ‘gulai/nasi’ didapur hangit. Gurunya (Ku Ngah) dikatakan dapat
mencairkan besi/senjata. Begitulah kehebatan pendekar ini. Beliau dan
keluarganya sangat dihormati oleh orang-orang kampong.
Jasanya
kepada pengembangan warisan silat seni adalah amat besar. Beliau telah
dianugerahkan pingat Jaksa Pendamai ( JP ) oleh baginda Sultan Kelantan
iaitu DYMM Sultan Yahya Petra Ibni Sultan Ibrahim pada tahun 1967. Beliau telah
kembali ke Rahmatullah pada tahun 1969 ketika berusia 69 tahun. Beliau telah
meninggalkan 4 orang anak. 1 lelaki dan 3 perempuan. Seramai 40 orang telah
mengusung jenazahnya kekubur berhampiran Sek. Keb. Lundang. Turut mengiringi
jenazah diatas pengusung yang dipanggil “Teniak” ialah 2 orang Guru Pondok dari
Padang Luas iaitu Tuan Haji Mustaffa (abang) dan Tuan Haji Aziz (adik). Anak
lelaki tunggal beliau ialah Tuan Haji Nik Ahmad bin Nik Abdul Rahman. Beliau
merupakan “ Ahli Kehormat Pertama “ PSSGSK. Beliau telah kembali
ke Rahmatullah pada 14 hb. April 2005. Kini “Ahli Kehormat” diganti oleh
anaknya pula iaitu En. Nik Man bin Haji Nik Ahmad. Dengan sokongan beliau dan
anak-anak murid Allahyarham Pak Chu Hussin dan lain-lain, Warisan Silat Seni
yang ditinggalkan oleh Allahyarham Pak Nik Man akan terus dikembangkan
agar tidak pupus ditelan zaman. Insya Allah.
*Pesanan Allahyarham Pak Nik Man
Jangan
sekali-kali mengubah kedudukan semasa
membuat tikaman atau sambutan dan
tapak. Sekiranya diubah bukan lagi diakui “Silat Ku Ngah”.
*Kata Mutiara Allahyarham Pak Nik Man
Mengajarlah walaupun kepada anak/cucu sendiri kerana dengan
mengajar akan
mengingatkan diri sendiri dan ilham (nampak) buah atau lain-lain langkah
dan kesilapan dengan sendirinya semasa mereka sedang bersilat.
#Diceritakan oleh :
Pak Nik Ahmad,
Pak Chu Hussin, Pak Nik Ya, Ustaz Hj. Hassan dan Pak Ngah Aziz.