CORETAN SILAT SENI KAMPONG LUNDANG
Pengenalan
Silat Seni Kampong Lundang, Kota Bharu,
Kelantan mula diasaskan oleh seorang cucu Dato’ Lundang yang terkenal sekitar
tahun 40 an yang bernama Nik Abdul Rahman bin Nik Mahmud. Beliau telah
mempelajari silat ini dari seorang pengembara dari Kuala Batu Burok, Terengganu
yang bernama Tengku Ngah pada tahun 1919. Beliau telah memberi nama silat ini
dengan nama “ Silat Ku Ngah “
sempena dengan nama guru silat nya. Selepas kematiannya pada tahun 1969, silat
ini diteruskan oleh anak muridnya iaitu Hussin bin Isa (Pak Chu Hussin). Pada
tahun 1975, beliau telah memberi nama silat ini
“ Silat Seni Gayungman Melayu Jati “ (SSGMJ) kerana selain Silat
Seni beliau juga ada mengajar “Gayungman”.
Pada 13 hb. Jun
2002, kumpulan silat ini telah diberi nama baru iaitu “Pertubuhan Silat Seni Gayungman Segerak Kelantan “ (PSSGSK) dengan
Pak Chu Hussin menjadi Pengasas dan Penasihat Yang Pertama. Perkataan Melayu
Jati telah ditukar menjadi “Segerak” kerana buah mempertahankan diri Silat Seni
dan Gayungman adalah “Satu Gerak“.
Perkataan “Melayu Jati” pula telah
dijadikan “Motto” Pertubuhan iaitu “Seni Warisan Melayu Jati”. Pertubuhan
ini telah diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 30 hb. Mei 2003. Keahlian berdaftar kini
adalah seramai 130 orang. Selepas kematian allahyarham Pak Chu Hussin, warisan silat
ini diteruskan pula oleh anaknya Shafie bin Husin (Pak In). Beliau telah
memperkenalkan silat ini kesekolah-sekolah disekitar Kota Bharu seperti SK Lundang,
SK Pasir Hor dan Sek (A) Kiblah sebagai Kokurikulum sekolah terbabit.
Selain dari
Silat, Mui Thai dan Silat Tongkat juga diajarkan kepada pelatih-pelatih oleh
Guru yang terdiri dari Ahli Jawatankuasa PSSGSK sendiri yang mempunyai
kebolehan dalam seni mempertahankan diri tersebut.
Muzik “Gendang Silat”
Menyedari hakikat bahawa generasi muda
juga perlu mewarisi muzik “gendang silat”, maka pihak PSSGSK telah
menjemput guru/jurulatih muzik gendang dari luar untuk mengajarnya. Tamat
Latihan Gendang ialah pada 01 Mei 2003.
Salah seorang dari pelatih ini iaitu Muhd.
Shafrizal Shafie telah melatih pula remaja dan murid-murid Sek. Keb.
Lundang. Alhamdulillah kini kanak-kanak dan dan remaja PSSGSK telah dapat
menguasai muzik ini. Pada 19-23 Ogos
2005, pelajar-pelajar PSSGSK yang mewakili Sekolah Kebangsaan Lundang, Kota
Bharu telah terpilih mewakili Kelantan dalam Pertandingan Pencak Silat Sekolah-Sekolah Malaysia Dan Jemputan Asean
di Kuala Terengganu.
Pendidikan Agama
Pertubuhan Silat Seni Gayungman Segerak
Kelantan (PSSGSK) telah mencatat satu sejarah serta tradisi kerana disamping
mengajar silat, telah memperkenalkan “Pendidikan
Agama” kepada pelatih-pelatih didalam
gelanggang silat. Ianya dikendalikan oleh Mej. (B) Ustaz Haji Hassan bin
Deraman (Ahli Jawatankuasa PSSGSK). Beliau juga merupakan Pesara Pegawai
Tentera dari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT). Semoga dengan pendidikan agama
yang dijalankan oleh beliau akan menjadikan pelatih-pelatih lebih berdisiplin
dan bertakwa.