Silat Seni ini juga dikenali dengan nama “ Silat Ku Ngah “. Ia nya mengambil sempena nama seorang Mahaguru silat yang terkenal pada masa itu bernama Tengku Ngah bin Tengku Chener atau ringkasnya Ku Ngah berasal dari Terengganu. Beliau telah mengembara dengan menaiki rakit dari Terengganu ke Kelantan pada tahun 1913 dan telah mendarat di Pangkalan Gajah Mati, Kota Bharu. Ketika sampai disitu hari hujan dan dalam perjalanan menuju kesebuah madrasah, beliau telah berpayung dengan bumbung payung menghala kehadapan. Tiba-tiba beliau telah terlanggar salah seorang dari tiga orang Sikh. Selepas itu berlakulah satu pergaduhan yang mana salah seorang dari orang Sikh tersebut menggunakan tongkat. Dalam pergaduhan tersebut, ketiga-tiga orang Sikh tersebut telah dapat ditewaskan oleh Ku Ngah dengan kehebatan ilmu persilatanya.
Peristiwa pergaduhan itu telah disaksikan oleh seorang pengikut Dato’ Lundang atau gelaranya Dato’ Panglima Perang Lundang. Lalu Ku Ngah telah dijemput oleh Dato’ Lundang kerumahnya. Setelah menceritakan asal-usul dan tujuan kedatanganya, maka Dato’ Lundang mempelawa Ku Ngah tinggal bersamanya untuk mengajar silat kepada dua orang cucunya iaitu Nik Abdullah (abang) dan Nik Abdul Rahman (adik) yang mana ketika itu masing-masing berusia 15 tahun dan 13 tahun. Maka belajar lah kedua-dua beradik ini dengan rajin dan bersungguh-sungguh selama 7 tahun.
Ku Ngah telah meminta izin dari Dato’ Lundang untuk kembali ke negeri asalnya Terengganu setelah beliau menurunkan segala ilmu persilatan kepada kedua-dua cucu Dato’ Lundang. Permintaan Tengku Ngah ini telah izinkan dan beliau pun kembali ke negeri asalnya di Batu Burok,Terengganu.
Nik Abdullah (Pak Nik Lah) telah menetap dan mengajarkan Silat Seni ini dikampungnya iaitu di Kampung Jembal, Kedai Lalat (Kota Jembal) dan Nik Abdul Rahman (Pak Nik Man) di Kampung Lundang. Ramai anak-anak murid dari kedua-dua Mahaguru ini dinegeri Kelantan,Terengganu, Pahang dan juga Kedah. Salah seorang anak murid Pak Nik Man yang terkenal ialah Raja Umar dari Kampung Teratak Pulai, Jelawat, Bachok. Beliau dikatakan telah mengajar 99 gelanggang sepanjang hayatnya.
Diceritakan olih Pak Ngah Aziz Sri Pendekar
pada malam 02 Julai 2002
Pak Nik Man juga telah belajar dengan Pak Nik Hassan (bapa saudaranya) dan Pala (Siam memeluk Islam) dan Pala juga ada belajar dari Pak Nik Man. Diceritakan oleh Allahyarham Pak Chu Hussin.